Warga emas rugi RM170,000 selepas ditawarkan sewa tanah untuk menara telekomunikasi

Mohd Azman Ahmad Sapri

KUCHING, 4 Okt: Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian RM170,000 selepas ditipu tiga individu berhubung penyewaan tanah untuk pembinaan menara telekomunikasi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kejadian dilaporkan menimpa mangsa yang berusia lewat 60an yang telah didatangi suspek pada September lalu.

Katanya, suspek memberitahu mangsa bahawa tanah kebunnya di Batu 15 Kota Samarahan akan disewa untuk pembinaan menara telekomunikasi.


“Mangsa mulanya tidak bersetuju dan memberitahu dia perlu berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, mangsa didatangi lagi kumpulan suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dan berjaya mendapatkan persetujuan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, pada awal bulan ini, mangsa dan isterinya telah dibawa oleh suspek ke bandaraya Kuching menaiki sebuah kereta kononnya untuk membuat pembayaran wang sewa tanah.

“Mangsa dan isterinya diperdaya suspek untuk mengeluarkan keseluruhan wang berjumlah RM170,000 dari akaun ASB mereka di beberapa bank sebagai syarat untuk pembayaran sewa tanah tersebut.

“Wang tersebut kemudian diserahkan kepada suspek,” katanya.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila dia dan isterinya ditinggalkan berhampiran sebuah bank di Jalan Simpang Tiga.

Laporan polis telah dibuat oleh mangsa pada 3 Oktober dan siasatan lanjut masih dijalankan. — DayakDaily