Warga emas maut selepas MPV terbabas di Jalan Stutong

Keadaan di lokasi kemalangan.

KUCHING, 21 April: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia dalam kemalangan kendiri di Jalan Stutong Baru, pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.29 pagi.

Katanya, tujuh orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya diketuai PBK II Iskandar Apet dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard terbabas ke seberang jalan sehingga mengakibatkan pemandunya tersepit.

“Mangsa, 64, berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Cucu mangsa yang berusia 5 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Bingkok John berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily