Warga emas hilang semasa memancing, ditemui mati di Sungai Bintangor

Mayat mangsa diangkat oleh anggota Bomba.

BINTANGOR, 10 Nov: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Sungai Lebaan Sibu pada Isnin (8 Nov) lalu, ditemui mati di Sungai Bintangor, pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak, pihaknya menerima laporan daripada pihak polis mengenai penemuan mayat mangsa pada jam 8.34 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba Bintangor terus ke lokasi penemuan tersebut.


“Setiba di lokasi kejadian, didapati benar ada satu mayat yang terapung di Sungai Bintangor.

“Mayat tersebut telah di ikat menggunakan tali pada sebuah kapal ikan yang belabuh di Sungai Bintangor.

“Pasukan Bomba lengkap dengan PPE telah membantu mengangkat mayat mangsa dari sungai menggunakan pengusung dan kemudian menyerahkan kepada pihak polis,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sarikei menggunakan kenderaan polis.

Mangsa yang merupakan warga emas berusia sekitar 60an dilaporkan telah keluar memancing pada jam 10 malam, Ahad (7 Nov) bersama-sama rakannya di sungai tersebut.

Pada jam 10 pagi hari berikutnya, rakannya itu telah menghubungi isteri mangsa dan memberitahu mangsa dipercayai lemas semasa mengambil barang yang tertinggal di seberang sungai iaitu tempatnya memancing.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terus dilancarkan selepas laporan dibuat oleh keluarga mangsa. — DayakDaily