Warga emas dikhuatiri lemas di Sungai Kanowit belum dijumpai setakat 9.30 pagi ini

Adit menceritakan situasi kejadian di Sungai Kanowit Kubu Brook, Julau.

JULAU, 29 Mac: Setelah berada di tengah sungai, beliau tiba-tiba hilang daripada pandangan, kata Adit Luloh.

Beliau yang ditemui DayakDaily menceritakan situasi dimana rakan beliau dikhuatiri lemas di Sungai Kanowit, Kubu Brook, Nanga Meluan, Julau petang kelmarin.

Mangsa Arim Bandok, 70, dari Rh Dagang Ninting pergi bersama Adit untuk memasang pukat sekitar jam 6.30 petang semalam.


Keadaan Sungai Kanowit Kubu Brook.

Pada ketika kejadian kata Adit, 70, sungai berada di paras lutut manakala arusnya tidaklah deras sangat.

“Setelah hilang daripada pandangan, saya memanggil beliau (Arim) beberapa kali tetapi tiada jawapan.

“Setelah beberapa minit mencari di sekitar sungai, saya balik ke rumah panjang untuk memaklumkan keluarga Arim,” katanya.

Setakat jam 9.30 pagi ini, DayakDaily yang berada di lokasi kejadian di maklumkan bahawa Arim belum ditemui lagi.

Usaha mencari mangsa dilakukan seawal pagi ini oleh ahli keluarga mangsa. — DayakDaily