Wanita warga emas maut, dilanggar semasa menyeberang jalan

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

SERIAN, 29 April: Seorang wanita warga emas meninggal dunia dalam kemalangan di kilometer 96 Jalan Kuching-Sri Aman semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak SUPT Bingkok John berkata mangsa, 61 tahun dari Kampung Ensebang Kuari semasa kejadian berjalan kaki menyeberang jalan.

Katanya, mangsa kemudian dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dalam perjalanan dari arah Serian menuju Sri Aman pada jam 7.40 malam.


“Akibat dari pelanggaran ini, mangsa telah terseret dan terhumban ke bahagian seberang jalan sebelah kanan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pasukan paramedik dari Hospital Daerah Serian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Daerah Serian menggunakan kenderaan polis.

Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily