Oleh Dean Adam
KANOWIT, Jan 24: Misteri kehilangan seorang wanita warga emas terungkai apabila dia ditemui selamat, hari ini.
Mangsa, Liong Shui Kim, 66, ditemui di kawasan kawasan hutan oleh dua pekebun getah pada pukul 9.40 pagi.
Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, selepas itu, mereka menghubungi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pasukan penyelamat kemudian memberikan rawatan awal dan minuman kepada mangsa sebelum dia dibawa keluar dari hutan.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kanowit untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, operasi SAR yang memasuki hari ketiga ditamatkan sepenuhnya apabila mangsa selamat dibawa ke hospital.
DayakDaily semalam melaporkan mangsa masih gagal ditemui selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu. — DayakDaily