BETONG, 4 Ogos: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak Rabu (3 Ogos) ditemukan selamat oleh Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak.
Jurucakap Bomba berkata mangsa, 78 tahun, yang berasal dari Rumah Rokayah Wilson Dunggau Melanjan Spak Layar ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung semula pada jam 2.45 petang tadi.
Katanya, terdahulunya anjing pengesan yang diberi nama ‘Daisy’ berjaya menemui bakul raga milik mangsa dan mangsa terus dijejaki berdasarkan petunjuk baharu tersebut.
“Pencarian terus diperluaskan dengan membawa kepada penemuan mangsa oleh unit K9 dengan jarak kira-kira 10 meter dari tempat bakul raga mangsa dijumpai.
“Mangsa yang ditemui dalam keadaan sedar dan lemah turut mengalami sedikit calar di anggota badannya.
“Seterusnya dia diusung oleh pasukan SAR kira-kira 300 meter ke Pusat Kawalan Bomba menggunakan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudian diberikan rawatan kecemasan oleh pasukan EMRS bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dikejarkan ke Hospital Betong untuk rawatan susulan.
Operasi SAR ditamatkan pada jam 3.30 petang.
Selain anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong, operasi SAR tersebut turut disertai polis dan penduduk kampung. — DayakDaily