Wanita terjun dari tingkat atas rumah untuk selamatkan diri dalam kebakaran di Bintulu

Pasukan Bomba sedang berusaha memadam kebakaran tersebut.
Advertisement

BINTULU, 13 Jun: Seorang wanita bertindak berani dengan terjun dari tingkat atas sebuah rumah yang terbakar di Taman Sri Pelabuhan lewat malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.11 malam.

Katanya, dilaporkan rumah yang terbakar dihuni oleh lima orang, termasuk dua wanita.

Advertisement

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran sebuah rumah dua tingkat dan tingkat atas rumah telah terbakar 100 peratus.

“Terdapat juga seorang wanita mengalami kecederaan kerana bertindak terjun dari tingkat atas rumah dan difahamkan juga mangsa turut menghidap penyakit asma,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelasnya mangsa telah diberikan rawatan kecemasan dan kemudian dikejarkan ke Hospital mengunakan ambulan EMRS.

“Manakala pihak bomba dengan menggunakan konsep RECEO bertindak memadam kebakaran tersebut sehingga api dapat dikawal dan dipadam sepenuhnya.

“Setelah memastikan tiada tanda api berulang, pasukan Bomba kemudian bertolak balik ke balai,” katanya.

Operasi memadam kebakaran tersebut dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily

Advertisement