Wanita temui ajal, suami dan anak cedera terlibat dalam kemalangan

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan Toyota Hilux.

Oleh Dean Adam

SIBU, Nov 4: Seorang wanita maut, manakala suami dan anak mereka cedera selepas motosikal yang dinaiki merempuh sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di Jalan Rantau Panjang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa yang berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah.


Menurut sumber, suami mangsa yang berumur 27 tahun serta anak perempuan berusia enam tahun pula cedera di bahagian anggota badan mereka.

Katanya, kedua-dua mangsa yang cedera pula dikejarkan ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Mayat mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

“Pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu Toyota Hilux berkenaan untuk membantu siasatan kes,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa bersama suami dan anaknya dikatakan dalam perjalanan ke pusat bandar Sibu dari Jalan Rantau Panjang.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily