Oleh Dean Adam
BINTULU, Mei 10: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyembunyikan atau mengalihkan wang tunai berjumlah RM22,350 pada Julai 2018.
Tertuduh, 46, yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan tersebut telah dibacakan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Mariyah Dahari di hadapan Hakim Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Tertuduh kemudian dibebaskan dengan jaminan tunai RM4,500 dan dua orang penjamin tempatan bekerja tetap.
Mahkamah seterusnya menetapkan Pre Trial Case Management (PTCM) pada 20 Jun depan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa kerana menyembunyikan wang RM22,350 milik pengadu yang telah dimasukkan ke akaun tertuduh pada 17 Julai, 2018, sebanyak RM4,500 dan pada 18 Julai, 2018, berjumlah RM17,850.
Sebelum itu, pada Mei 2018, mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki melalui Facebook (FB) sebelum mangsa diperdaya memasukkan wang berjumlah RM22,350 ke akaun tertuduh kononnya untuk melepaskan bungkusan kiriman rakan Facebooknya itu yang dikatakan telah ditahan oleh pihak Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Namun, tertuduh telah ditangkap pada 9 Mei lepas oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Miri di pusat bandaraya Miri. — DayakDaily