Wanita rugi RM39,574 ditipu lelaki kononnya askar dari Amerika Syarikat

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Okt 6: Lagi kes melibatkan kes penipuan bungkusan atau ‘parcel scam’ dilaporkan berlaku di negeri ini.

Kes terbaharu yang dilaporkan semalam melibatkan seorang guru wanita yang mendakwa kerugian sebanyak RM39,574.

Kejadian itu dilaporkan antara 21 Sept hingga 2 Okt lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa mendakwa terpedaya dengan seorang kenalan askar kononnya dari Amerika Syarikat yang menjanjikan memberikan hadiah kepada wanita berkenaan.

Jelasnya, tertarik dengan janji-janji manis lelaki yang bernama sebagai Fred Stevens William Fernando itu, mangsa yang berusia 47 tersebut kemudian bersetuju menerima hadiah daripada suspek.

“Pada 21 Sept lalu, suspek telah memberitahu mangsa bahawa akan mengirim barangan untuk mangsa.

“Tiga hari selepas itu, mangsa telah membuat permindahan wang dalam talian melalui akaun Maybank ke akaun Emirates NBD suspek sebanyak RM2,306,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, kemudian pada 27 Sept lalu mangsa juga telah membuat transaks secara dalam talian ke akaun yang sama sebanyak RM5,667.

Jelas beliau, seterusnya pada 1 Okt lepas mangsa telah pergi ke Maybank di Jalan Song Thian Cheok untuk membuat pemindahan wang ke dalam akaun yang sama sebanyak RM21,609.

“Kali terakhir mangsa telah membuat transaksi pemindahan secara dalam talian ke dalam akaun yang sama sebanyak RM9,991 pada 2 Okt lepas.

“Akhirnya, wanita berkenaan sedar bahawa dirinya telah ditipu lelaki berkenaan kerana barang yang dijanjikan itu tidak sampai, malah tidak wujud,” katanya. — DayakDaily