Wanita PKR Sarawak: Laila bukan Ketua Wanita Cabang Sri Aman

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 15 DIS: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menegaskan bahawa Laila Usop yang meletak jawatan dari parti bukan Ketua Wanita Cabang Sri Aman.

Sebaliknya, kata Pemangku Wanita PKR Sarawak Dato Sri Hafsah Harun, Laila hanya mengikut pemilihan parti pada tahun 2018.

Katanya, Ketua Wanita Cabang Sri Aman adalah Patricia Limau Pantau manakala Laila hanya membantu di peringkat cabang pada tahun 2020.


“Walau bagaimanapun, Wanita PKR Sarawak tidak gentar dengan taktik kotor pihak lawan.

“Pada waktu kini, semua jentera Wanita sedang memberikan fokus sepenuhnya kepada PRN Sarawak Ke-12.

“Ini demi memastikan parti meraihkan kemenangan di DUN yang ditandingi dan nasib rakyat akar umbi Sarawak diperjuangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru Hafsah menyeru semua rakyat Sarawak untuk turun mengundi pada 18 Disember nanti demi memastikan prinsip keadilan dan reformasi ditegakkan. — DayakDaily