Wanita PKR gesa kerajaan segera banteras isu gangguan seksual atlet

Meneng Biris
Advertisement

KUCHING, 27 Okt: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa agar sebarang isu gangguan seksual terhadap terhadap wanita, kanak-kanak dan atlet negara harus dibanteras dengan segera.

Naib Ketuanya Meneng Biris dalam satu kenyataan berkata masalah itu harus diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Beliau mengulas berhubung kenyataan di Twitter oleh ratu sukan terjun negara Datuk Pandalela Rinong yang mendedahkan bahawa pernah menjadi mangsa lawak lucah yang dilakukan bekas jurulatih.

Advertisement

“Wanita PKR memandang serius tentang sebarang gangguan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan mangsa di kawasan saya sendiri.

“Gangguan seksual seperti ini sekiranya tidak dibendung akan membawa kesan yang sangat negatif dan mendalam kepada para atlet wanita dan kanak-kanak termasuk tekanan mental dan emosi,” katanya.

Tambah Meneng yang juga Ketua Wanita Cabang Mas Gading, Kementerian Belia dan Sukan harus menyediakan saluran yang jelas, telus dan terbuka bagi atlet untuk membuat aduan tentang gangguan seksual.

Ini katanya supaya kes tersebut dapat disiasat dengan cepat dan tindakan untuk membela nasib atlet kita diambil dengan tegas.

“Perkara yang menimpa Pandelela bukan saja satu perkara yang pertama kali berlaku, tetapi perkara seperti ini juga pernah menimpa perenang negara Cindy Ong suatu ketika dulu.

“Beliau telah memberanikan diri untuk mendedahkan gangguan seksual ke atas dirinya secara terbuka.

“Saya memberikan sokongan moral sepenuhnya kepada dua wanita ini yang berani tampil ke depan untuk membuka mata kerajaan dan masyarakat kepada jegala ini,” ujar beliau.

Dalam kenyataan itu, beliau mahukan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memastikan hak dan keselamatan para atlet menjadi fokus utama.

Katanya, para atlet harus diberikan sokongan moral untuk tampil ke depan dan bersuara apabila menghadapi gangguan seksual.

Dalam pada itu, Meneng mengesa agar kerajaan membentuk satu biro saluran pemberian maklumat yang komprehensif untuk menerima aduan dan juga biro untuk menyiasat dan mengambil tindakan.

“Biro ini harus didirikan dengan segera untuk membela serta melindungi hak wanita dan juga kanak-kanak.

“Ini supaya setiap mangsa berani untuk tampil membuat aduan tentang apa yang berlaku terhadap mereka tanpa sebarang ancaman atau intimidasi daripada pihak berkuasa,” katanya. — DayakDaily

Advertisement