This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 4 Jun: Seorang wanita disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Batu 9 Jalan Kuching-Serian malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10.18 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah pikap Toyota Hilux dengan motosikal jenis Yamaha LC135.
“Terdapat dua mangsa terlibat yang menaiki motosikal tersebut semasa kejadian dan salah seorang telah dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, terdapat seorang lagi mangsa wanita masih tersepit di bawah pikap terbabit.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah pikap tersebut dan seterusnya diserahkan kepada KKM untuk rawatan, namun telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily