Wanita maut dalam kemalangan di Serian

Keadaan kenderaan mangsa yang terbabas di lokasi kejadian.

SERIAN, 15 Mac: Seorang wanita meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di Kilometer 5 Jalan Serian-Kuching di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa, berusia 50 tahun dari Kampung Biawak, Lundu, semasa kejadian dikatakan memandu sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux bersama seorang lelaki.

Katanya, semasa kejadian mereka bergerak dari arah Serian sekitar jam 12.50 tengah hari.


“Jumlah kesemua mangsa yang terlibat kemalangan adalah dua orang. Didapati seorang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan Bomba dan terus dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.

“Pasukan Bomba bertindak menarik kenderaan menggunakan ‘winching’ daripada jentera Bomba sebelum berjaya mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk pemeriksaan lanjut.

“Mangsa (pemandu) yang tidak sedarkan diri telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM yang turut berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily