This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 27 Julai: Seorang wanita maut apabila motosikal diboncengnya terlibat kemalangan di Jalan Batu Kawa-Moyan tengah malam tadi.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Voon Ah Fah berusia 55 tahun dan berasal dari Jalan Matang Taman Malihah Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa semasa kejadian menaiki motosikal bersama seorang lelaki sekitar jam 12.15 tengah malam.
Katanya, kedua-dua mangsa bergerak lurus menghala ke lampu isyarat Moyan apabila dipercayai tiba-tiba dilanggar sebuah Toyota Wish.
“Akibat daripada pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kaki kiri dan lebam di bahagian muka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat HUS dan mangsa yang cedera telah dihantar ke unit kecemasan HUS untuk rawatan lanjut.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. ā DayakDaily