Wanita cuba elak bas disahkan maut selepas dilanggar kereta di Samarahan

P1 Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian

KOTA SAMARAHAN, 5 Jun: Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 13 Jalan Kota Samarahan-Mambong hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Bingkok John berkata mangsa berusia 23 tahun dari Kampung Sebangkoi, Serian semasa kejadian menunggang motosikal.

Katanya, mangsa bergerak dari arah Siburan menuju ke Kota Samarahan apabila dikatakan terbabas akibat mengelak sebuah bas yang berhenti di laluannya sekitar jam 7.40 pagi.


“Mangsa telah mengelak sebuah bas tidak dikenalpasti yang dikatakan berhenti di hadapan laluannya menyebabkan dia terjatuh di laluan bertentangan dan dilanggar sebuah kereta yang bergerak lurus dari Kota Samarahan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan oleh pihak ambulans,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Rawatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily