Wanita cemas, kenderaan dipandu tiba-tiba terbakar

Kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbakar.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Dean Adam

TATAU, Mei 27: Seorang wanita cemas apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-MAX yang dipandunya tiba-tiba terbakar dalam satu kejadian di simpang Pekan Tatau awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi, wanita yang berusia 32 tahun itu sempat keluar dari kenderaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Nazari Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.16 pagi.

Jelasnya, sepasukan tujuh anggota bomba dari BBP Tatau bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati kenderaan berkenaan telah terbakar kira-kira 95 peratus.

“Pasukan bomba kemudian bertindak memadam kebakaran itu menggunakan satu aliran hos dan sumber air dari tangki jentera bomba,” katanya di sini hari ini.

Nazari menambah, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada pukul 6.30 pagi.

“Operasi memadam itu tamat sepenuhnya pada pukul 7 pagi,” jelasnya. — DayakDaily