Wan Junaidi yakin IKM bakal menjadi kolej universiti

Wan Junaidi (tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (12 Sept 2020.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Sept: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yakin usaha menaiktaraf Institut Koperasi Malaysia (IKM) sebagai kolej universiti akan menjadi kenyataan.

Katanya, usaha tersebut telah mendapat lampu hijau daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


ā€œDaripada maklumbalas kementerian pengajian tinggi, ada syarat-syarat yang mesti kita penuhi untuk menjadikan IKM kolej universiti.

ā€œTetapi oleh kerana program ini telah mendapat lampu hijau daripada perdana menteri, saya cukup yakin ia dapat dilaksanakan dalam satu jangka masa,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan penutupan Seminar Pembangunan Pertanian Koperasi Negeri Sarawak di sebuah hotel di sini.

Menurut Wan Junaidi, IKM yang telah lama wujud sememangnya menggunakan undang-undang kolej.

Katanya, kita hanya hendak melaksanakan penaiktarafan dan menjadikannya badan swasta.

ā€œInstitut ini nanti akan melatih anak-anak dan cucu-cucu ahli koperasi.

ā€œTiga puluh peratus displin atau matapelajaran di kolej universiti adalah berhubung ilmu dan pentadbiran koperasi seperti kewangan dan undang-undang,” ujar Wan Junaidi.

Sebagai langkah pertama jelas beliau, kementeriannya akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan untuk melatih belia-belia lepasan universiti yang tidak mendapat pekerjaan untuk terlibat dalam koperasi.

Golongan belia ini tambah beliau juga disaran untuk memilih keusahawanan sebagai kerjaya.

ā€œUsaha ini juga akan menambah jumlah usahawan dan ahli-ahli koperasi.

ā€œKolej universiti ini nanti bukan sahaja melatih sumber manusia tetapi melahirkan mereka yang mahir di dalam teknologi tinggi dan mampu bekerja di industri besar di seluruh negara,” ujar Wan Junaidi.-DayakDaily