Wan Junaidi: Usahawan diseru lebih bermotivasi

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 11 Okt: Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru agar para usahawan meningkatkan ilmu dan pengetahuan dalam skil keusahawanan.

Selain itu, beliau juga menyeru para usahawan agar memperkuatkan fizikal dan mental untuk mengharungi cabaran global ini.

“Penularan wabak pandemik Covid-19 yang telah melanda dunia seawal tahun ini telah menyebabkan banyak sektor terjejas khususnya segmen perniagaan yang melibatkan para usahawan di seluruh Malaysia.


“Pandemik ini bukan sahaja menjejaskan usahawan tempatan malah perniagaaan, perdagangan dan ekonomi negara seluruh dunia turut terkesan dengan impak yang besar ini.

“Oleh itu, dalam berhadapan dengan situasi yang mencabar dan tidak menentu ini, saya menyeru agar para usahawan sentiasa cekal dan tabah dalam menghadapi apa jua rintangan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini..

Tambah beliau, kerajaan sentiasa komited untuk mendengar, membantu dan menyokong apa jua keperluan yang bersesuaian bagi memastikan para usahawan di Malaysia dapat bertahan dalam kemelut ini.

Menurut Wan Junaidi, kementeriannya melalui agensi seperti INSKEN (Institut Keusahawanan Negara) menawarkan konsultasi percuma seperti eBiz Klinik yang merupakan kaunseling bisnes bersama BizKaunselor secara ‘one-on-one’ bagi memberi ruang kepada usahawan untuk berkongsi isu dan cabaran yang dihadapi.

“Agensi-agensi lain dibawah kementerian seperti SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia), SMECorp (SME Corporation Malaysia) dan IKM turut menawarkan latihan dan perkhidmatan ‘coaching’ untuk membantu para usahawan mendapat bimbingan keusahawanan,” ujar beliau.

Justeru katanya, seorang usahawan itu perlu mempunyai motivasi diri sebagai pendorong dalam membangkitkan semangat yang sedia ada. — DayakDaily