Walaupun automatik, ART tetap bergerak dengan pemandu – Lee

Lee memberi penerangan berhubung laluan ART.

KUCHING, 6 Dis: Walaupun pemanduan automatik, Transit Aliran Autonomi (ART) tetap akan bergerak dengan pemandu, kata Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin.

Menurut beliau, ia adalah langkah keselamatan bagi memastikan pergerakan ART lancar.

“Bila menghampiri lampu isyarat, ART akan memperlahankan kelajuan, di sini pemandu akan memantau keadaan sekeliling.


“Jika ada kenderaan lain yang melanggar lampu isyarat, pemandu akan segera memperlahankan ART,” katanya ketika ditemui di Majlis Lawatan ke Tapak ART di Le Promenade Mall, Kota Samarahan hari ini.

Tambah Lee, Prototaip ART iaitu trem tiga gerabak berkuasa hidrogen bakal beroperasi menggunakan isyarat transit khas.

Dengan penggunaan isyarat tersebut katanya, apabila ART menghampiri lampu isyarat, lampu isyarat mesti bersedia untuk memberi isyarat hijau supaya ia tidak berhenti.

Dalam pada itu, Lee memaklumkan kerja-kerja pembinaan laluan untuk trem itu sedang giat dilaksanakan.

Ujarnya, Laluan Biru sepanjang 27.6 kilometer (km) menghubungkan Rembus di Kota Samarahan ke stesen pertukaran Hikmah di pusat bandar raya, dijangka siap pada penghujung 2025.

“Laluan Merah sepanjang 12.3 km pula bagi perjalanan dari Kuching Sentral ke Pending.

“Manakala Laluan Hijau sepanjang 30km bagi perjalanan dari Pending ke Damai di Santubong.

“Semua ini dibawah projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dijangka siap pada penghujung 2027,” kata Lee. — DayakDaily