KUCHING, Feb 11: Seorang wakil keluarga berjaya melawat seramai 47 orang rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey, Kemboja hari ini yang juga hari yang ke-62 mereka telah ditahan.
“Hari ini saya dimaklumkan bahawa seorang wakil kepada keluarga yang dikenali sebagai Uncle Azra hadir ke penjara bersama Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja, (Datuk) Othsman Hassan, bagi melawat para tahanan rakyat Malaysia.
“Menteri tersebut memaklumkan kepada Uncle Azra supaya tidak bimbang kerana beliau amat prihatin dengan perkara ini dan akan membantu pihak Malaysia bagi menyelesaikan isu ini secepatnya,” kata Ahli Parlimen Julau Larry Sng dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, turut hadir bersama Azra dalam lawatan tersebut adalah badan bukan kerajaan ‘Cambodian Muslim Youth Alliance’ yang membekalkan makanan dan minuman halal kepada semua rakyat Malaysia yang ditahan.
“Saya kini sedang menguruskan kebenaran dari pihak Imigresen Malaysia untuk membenarkan beberapa ahli keluarga tahanan turut serta dalam delegasi saya ke Kemboja. Ini adalah disebabkan ada ahli keluarga yang tidak dapat keluar negara kerena mempunyai masalah dengan pihak insolvensi.
“Semoga kesemua 47 rakyat Malaysia tersebut dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat,” tambah beliau. — DayakDaily