Usahawan bumiputera digalak jual produk di Kedai Mesra Petronas

Abdul Latif(kanan) semasa lawatan ke premis Lenispice di Jalan Kampung Bako.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 SEPT: Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad menggalakkan pengusaha bumiputera khususnya dari luar bandar menjual produk-produk mereka di Kedai Mesra Petronas.

Katanya, KPLB telah membuat perjanjian dengan Petronas Dagangan supaya produk-produk usahawan kampung yang menepati syarat-syarat tertentu boleh dijual di 350 Kedai Mesra Petronas di seluruh negara.

Advertisement

“Kita sudah ada perjanjian dimana produk-produk ini boleh di jual di kedai Mesra Petronas.

“Persefahaman ini membolehkan produk-produk luar bandar di jual di dalam bandar,” katanya pada sidang media semasa lawatan ke premis pemprosesan Lenispice Sdn Bhd di Jalan Kampung Bako hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan ke premis pemprosesan madu kelulut Meliponi di Demak Laut.

Tambah Abdul Latif, Kedai Mesra Petronas memberi peluang kepada produk bumiputera yang tidak dapat menembusi pasaran di pusat membeli belah atau kedai serbaneka.

“Bayangkan kita ada lebih 100 produk yang tidak dapat dijual di pasaraya.

“Tidak boleh dijual di 7 Eleven, KK Mart dan Tesco dan ia ada halangan serta kekangan di mana pengusaha harus membayar sejumlah wang untuk caj yang dikenakan pasaraya.

“Kalau tidak dibayar, produk-produk ini akan diletakkan di hujung kedai dan tiada siapa yang nampak, maka tiada yang beli,” katanya.

Justeru, kita ada persefahaman dengan Petronas Dagangan untuk membantu menjual produk produk bumiputera dari kampung.

Maka produk-produk dari kampung ini dapat dijual di bandar, ujar beliau.

Turut hadir Menteri Muda Pertanian Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan ADUN Muara Tebas Dr Hazland Abang Hipni. — DayakDaily

Advertisement