Upa pantu, upa lalis dan kasam ensabi hidangan istimewa rumah panjang

Hidangan istimewa oleh penduduk Rh Jalin.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 April: Upa pantu, upa lalis dan kasam ensabi antara hidangan istimewa khusus kepada rombongan 25 pacuan empat roda (4X4) ke Rh Jalin dan Rh Jepun di Rantau Sungai Masin di Julau pada 29–30 Mac lepas.

Turut dihidangkan oleh penduduk rumah panjang ialah ayam kampung pansuh, sup terung asam dan kasam ikan enseluai serta nasi pulut.


Peserta rombongan sekitar 50 orang rata-rata gembira menikmati masakan ala rumah panjang yang jarang ditemui di kawasan bandar.

Dr Isabella (berdiri) memberi servis kesihatan.

Salah seorang peserta, Dr Isabella sangat teruja dengan sambutan penduduk di Rh Jalin yang sejak pagi lagi sudah bersedia.

Katanya, sebaik tiba tepat pada jam 1 tengahari mereka terus dibawa untuk menikmati hidangan makan tengahari.

“Ini pengalaman pertama saya menyertai rombongan pacuan empat roda ke kawasan pendalaman.

“Makanan rumah panjang sangat enak dan penduduknya peramah,” ujar Dr Isabella yang berasal dari Miri, berbangsa Kelabit.

Beliau merupakan sukarelawan yang memberikan servis pemeriksaan kesihatan kepada penduduk di kedua-dua buah rumah panjang.

Peserta rombongan merakamkan kenangan bersama penduduk Rh Jepun.

Sementara itu, Tr Jalin memberitahu penduduk rumah panjang sudah bersedia sehari sebelum ketibaan kehadiran rombongan pada Jumaat (29 Mac).

Katanya, pulut (di dalam buluh) sudah dimasak pada pagi Khamis manakala lauk lain dimasak pagi Jumaat.

Bagi Tr Jepun pula, seluruh penduduk rumah panjang sangat gembira dengan kehadiran rombongan yang diselaraskan oleh Micheal Sim.

“Inilah budaya kami di rumah panjang—kami mengalu-alukan kehadiran pelawat.

“Kami mahu mereka mengenal budaya termasuk makanan tradisional penduduk rumah panjang,” katanya yang ditemui pada Sabtu lepas (30 Mac).

Bakul makanan diagihkan kepada penduduk rumah panjang.

Kehadiran rombongan merupakan sebahagian daripada “Community Outreach Programme” membawa pasukan perubatan ke Rh Jalin dan Rh Jepun.

Pemanduan melalui jalan balak ke kedua-dua buah rumah panjang memakan masa lebih sejam dari Pasar Pakan.

Selain pemeriksaan kesihatan, rombongan turut mengagihkan sebanyak 65 bakul makanan kepada penduduk.

Turut disampaikan ialah bantuan alatan persekolahan kepada anak-anak dan perkhidmatan gunting rambut, manakala ubatan dibekalkan oleh Farmasi Ting.

Rombongan pancuan empat roda dengan 25 kenderaan ini disertai pasukan Glory, Highway dan Love All Serve All dari Kuching. — DayakDaily