Universiti Teknologi Sarawak main peranan penting jayakan PCDS 2030

Abang Johari menyampaikan Anugerah Akedemi kepada Rasyidah Azhari. Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak

KUCHING, 17 Dis: Pendidikan dan pembangunan modal insan antara pemboleh ubah dalam menjayakan objektif Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Justeru kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memainkan peranan penting dalam menjayakan objektif tersebut.

“Peranan UTS dalam perkara ini patut diberi perhatian.


“Universiti ini bukan sahaja melahirkan graduan tetapi juga secara konsisten membentuk golongan profesional yang berkualiti dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran kerja,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Konvokesyen UTS Ke-8 di Sibu, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 297 graduan menerima ijazah, termasuk tiga orang menerima ijazah doktor falsafah (PhD), 26 penerima ijazah sarjana dan selainnya ijazah sarjana muda.

Tambah Abang Johari yang juga Pro Canselor UTS, universiti tersebut turut diiktiraf sebagai institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) terkemuka di negara ini.

Selain itu katanya, universiti juga telah melahirkan graduan yang berjaya menceburi bidang keusahawanan. — DayakDaily