Unit Dron PGU Sarawak bantu tugas pematuhan PKP di Sarawak

Gambar dari udara yang dirakam Unit Dron PGU Sarawak di Emart Matang sekitar jam 10 malam, semalam.

KUCHING, 1 Apr: Unit Dron Pasukan Gerakan Udara(PGU) Polis Sarawak
membantu operasi memantau pergerakan orang ramai di sepanjang tempoh
Perintah Kawalan pergerakan(PKP).

Dibantu Unit Risik PGU, pasukan ini melaksanakan pemantauan dan
penggambaran udara di kawasan-kawasan ‘hotspot’ seluruh negeri
Sarawak.

Di Bahagian Kuching, peringkat pertama pemantauan dan penggambaran
udara difokuskan dengan memberikan bantuan kepada anggota dari IPD
Kuching dan IPD Padawan.


Bagi kes-kes pemantauan yang melibatkan pergerakan penduduk setempat
yang gagal mematuhi PKP di Kuching, maklumat akan disalurkan terus
kepada pihak IPD Kuching.

Maklumat itu seterusnya dihantar ke pihak MPV di balai-balai terdekat
untuk tindakan yang sewajarnya.

Setakat ini, Unit Dron PGU Sarawak telah membuat pemantauan di sekitar
Kampung Gersik, Kampung Boyan, Kompleks DUN, Kompleks MASJA .

Pemantauan dari udara(dron) juga dilakukan di kawasan-kawasan ‘hot
spot’ di Bandaraya Kuching seperti ICOM Square dan Waterfront Kuching.

Untuk operasi pada malam ini, unit ini akan memantau dan melakukan
penggambaran di sekitar kawasan Satok, IPK Sarawak, Hospital Umum
Sarawak, Emart, Metrocity, Taman Matang Avenue, Taman Matang Jaya,
Taman Yen-Yen serta Taman Syn-Syn.

Pemantauan juga dilakukan di sepanjang Jalan Song, Taman Sahabat, Batu
Tiga, Taman BDC serta MJC Batu Kawa. —DayakDaily.