Unifor selesaikan masalah rumah ibadat agama-agama lain

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

KUCHING, 14 Nov: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) selesaikan semua masalah yang dihadapi rumah-rumah ibadat agama-agama lain di negeri ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut beliau, kerajaan menerusi Unifor sejak 2017 sehingga sekarang telah memperuntukKan sejumlah RM215 juta.

“Sebelum Unifor, banyak rumah ibadat menghadapi masalah – ada tiang tiada bumbung, ada bumbung tiada dinding, sebahagian susah dibina.


“Tetapi keadaan sudah berubah dalam beberapa tahun ini sejak wujudnya Unifor,” kata Uggah.

Beliau berkata demikian di Majlis Aspirasi Unifor yang dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Sibu hari ini.

Tambah Uggah yang juga Menteri Bertanggungjawab kepada Unifor, Abang Johari pada 2017 telah memperuntukkan RM15 juta untuk unit tersebut.

Pada 2018, katanya, jumlah peruntukan meningkat ke RM20 juta.

“Manakala pada 2019, jumlah naik RM30 juta, pada 2020, naik lagi RM50 juta.

“Pada 2021, RM50 juta lagi, tahun 2022 juga RM50 juta dan pada 2023 kita minta naik sedikit,” ujar Uggah.

Malah, tambah beliau, Abang Johari bukan sahaja membantu membina rumah ibadat, sekolah mubaligh pun turut dibantu.

Katanya, pada tahun 2021 sejumlah RM15 juta diperuntukkan untuk sekolah mubaligh manakala pada tahun 2022 juga jumlah yang sama (RM15 juta). — DayakDaily