This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 1 Julai:Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bakal memperkenalkan Undang-Undang Etika.
Menurut beliau, undang-undang tersebut bakal dikuatkuasakan di persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Kata Wan Junaidi, hasrat itu telah dibincangkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan disambut baik oleh Anwar.
“Saya ingin memperkenalkan undang-undang berkaitan etika, ia bagi memendung Ahli Parlimen kita yang memekik, melolong.
“Kalau kita lihat pada 80-an dan 90-an tiada perkara ini berlaku, sehingga tahun 1999 baru kita lihat Ahli Parlimen sangat agresif tapi tak setahap sekarang.
“Sekarang monyat keluar, babi keluar serta macam-macam benda yang tidak sepatutnya disebut dalam Parlimen,” katanya pada sidang media di Studio TVS hari ini.
Tambah Wan Junaidi, sikap keterlaluan Ahli Parlimen yang merupakan penggubal undang-undang harus dibendung.
Jika tidak katanya, apakah pandangan masyarakat umum terhadap semua ahli-ahli parlimen ini.
“Jadi saya nak memperkenalkan etika, supaya Ahli Parlimen kita menggunakan bahasa yang baik, supaya tidak menggunakan kebebasan di dewan untuk memaki hamun,” ujar Wan Junaidi.
Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau memohon sokongan daripada pihak kerajaan seperti Perdana Menteri, menteri-menteri, Kementerian Kewangan khususnya Menteri Undang-Undang.
“Saya sudah maklumkan kepada Perdana Menteri bahawa saya perlu sokongan beliau.
“Perdana Menteri menyambut baik hasrat ini dan kita kena bincang lagi sebab dia ingin tahu lebih terperinci,” katanya. — DayakDaily