Umat Islam perlu sentiasa bersatu padu — Asfia

Asfia (berdiri tengah, baju kuning) bergambar kenang-kenangan bersama penerima sumbangan.

KUCHING, Jan 6: Umat Islam di negeri ini dituntut agar bersatu padu serta berpegang teguh kepada ajaran Islam sebenar berlandaskan Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW.

Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata demikian dalam majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau bagi kawasan Tupong di Masjid Al Abyad, Taman Matang Jaya di sini, hari ini.

Tambahnya, jika perpaduan dapat dikekalkan, ianya mampu membangunkan tahap ekonomi dan sosial penduduk di negeri ini.

Beliau juga mengingatkan agar umat Islam tidak membiarkan anasir luar merosakkan akidah serta melemahkan mereka.

Sebanyak sembilan buah masjid dan 33 surau menerima sumbangan berjumlah sebanyak RM 189 ribu.

Sumbangan tersebut bagi membolehkan pihak masjid dan surau untuk menjalankan pelbagai aktiviti dan program keagamaan.

Pada majlis yang sama, Persatuan Kebajikan Wanita Tupong menerusi bendaharinya, Zuriana Bolhassan turut menerima sumbangan yang disampaikan oleh isteri Pemangku TYT, Dato Fatimah Mohd Iskandar. — DayakDaily