Oleh Brad Rantayy
MIRI, 4 Ogos: Seekor ular sawa batik dewasa yang dalam keadaan kekenyangan setelah menelan beberapa ekor ikan peliharaan di sebuah rumah di Jalan Bakam Strawberry, berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Miri (APM) tengahari tadi.
Ular sawa sepanjang tiga meter itu ditemui pemilik kolam seorang lelaki berusia 64 tahun sekitar jam 12.54 tengahari ketika hendak memberi makanan kepada ikan peliharaannya.
Menurut pegawai APM Miri Kapten (PA) Usman Harto, beberapa anggota APM Miri telah dikerahkan ke lokasi sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penemuan itu.
Pihaknya berjaya menangkap reptilia tersebut dalam masa kurang daripada dua minit dengan menggunakan peralatan khas.
Ular tersebut kemudiannya telah dilepaskan ke habitat semulajadinya. — DayakDaily