Ujian calitan Covid-19 di PPS akan dilaksanakan mengikut keperluan

Abang Johari ketika melawat mangsa yang dipindahkan di PPS Dewan Kamaruddin Kampung Segedup
Advertisement

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 14 Jan: Ujian calitan Covid-19 akan dilaksanakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) untuk memantau setiap PPS yang dibuka bagi mengelakkan berlakunya penularan wabak tersebut pada ketika ini.

Advertisement

Menurutnya, jika terdapat mangsa yang dalam perintah kuarantin rumah, tindakan memisahkan mereka akan dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mangsa yang dipindahkan ke PPS terjamin.

“Kalau keadaan memaksa kita, kita terpaksa pisahkan mereka dan ini akan diawasi oleh Jabatan Kesihatan Sarawak bersama dengan jabatan-jabatan yang berkaitan dalam perkara ini.

Abang Johari menyerah bantuan dan Kit musim banjir kepada mangsa yang dipindahkan di PPS Dewan Kamaruddin, Kampung Segedup

“Keputusan-keputusan berkaitan dengan perkara tersebut iaitu sama ada menjalankan ujian calitan pada mangsa yang dipindahkan ke PPS dan pengasingan mangsa yang dalam perintah kuarantin rumah ini akan dilakukan oleh SDMC,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke PPS Dewan Masyarakat Kamaruddin di Kampung Segedup di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan lebih berhati-hati dilakukan oleh agensi terlibat dalam memindahkan mangsa banjir bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya tapisan yang ketat turut dilaksakan oleh Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak yang turut ditugaskan di semua PPS yang dibuka.

“Kalau ada berlakunya mangsa yang dijangkiti wabak ini kita diberikan nasihat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KKM akan tentutan tindakan selanjutnya. Kalau ada kita akan pisahkan mangsa terbabit.

“Prosedur Operasi Standardnya (SOP) kita sudah ada dan pejabat Residen berpandukan SOP yang telah ditetapkan oleh SDMC ,” katanya

Abang Johari dalam pada itu turut menyeru setiap mangsa yang dipindahkan ke PPS untuk sentiasa mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 selain sentiasa bersedia untuk berpindah apabila diarahkan untuk berbuat demikian.

Ini kerana kata beliau, menurut ramalan Jabatan Meteorologi, keadaan cuaca hujan dan lembab serta fenomena air pasang besar atau ‘King Tide’ berkemumgkinan akan berlarutan untuk tempoh seminggu lagi.

“Untuk seminggu ini saya minta semua rakyat khususnya yang berisiko terjejas akibat bencana ini untuk sentiasa berwaspada,”katanya. — DayakDaily

Advertisement