UiTM tangguh pendaftaran fizikal

Lecture. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KOTA SAMARAHAN, 3 OKT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak mengambil keputusan untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal semua pelajarnya bagi sesi Oktober 2020 sehingga ke satu tarikh yang bakal dimaklumkan kelak.

Bagaimanapun, menurut kenyataan univestiti terbabit hari ini, proses pendaftaran pelajar bagi sesi berkenaan akan dilaksanakan secara dalam talian menerusi pautan di laman sesawang Universiti terbabit.

“Sehubungan itu, semua pelajar UiTM Cawangan Sarawak hendaklah mengambil maklum dan mengikuti pengajian secara kaedah terbuka dan jarak jauh (ODL) mulai 12 Oktober ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” kata kenyataan itu.

Katanya, pelajar dari luar Sarawak perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan Sarawak jika ingin meneruskan perjalanan mereka ke negeri itu selain semua kos berkaitan adalah di bawah tanggungan pelajar terbabit.

Sementara itu, Rektor UiTM Mukah, Profesor Datuk Jamil Hamali dalam kenyataan berasingan berkata, semua pelajar kursus pra diploma yang telah mendaftar pada 26 September lalu dikehendaki terus berada di Universiti berkenaan.

“Kehadiran pelajar ini di kampus adalah bagi mengikuti sesi pembelajaran di kampus secara bersemuka untuk meningkatkan penghayatan kepada pengajian yang akan mereka lalui,” katanya

Katanya, semua pelajar terbabit turut mengikuti program Minggu Destini Siswa yang berlangsung pada 28 September lalu sehingga semalam bagi mendedahkan mereka (pelajar) kepada kaedah pembelajaran di Universiti seterusnya meningkatkan kemahiran serta keyakinan diri sebagai pelajar institusi pengajian tinggi. — DayakDaily