Uggah: Siap siaga hadapi PRN dalam norma baru

Uggah (depan, kiri) meninjau masalah perparitan di Kampung Melayu Spaoh. Foto: Ukas

KUCHING, 27 Okt: Ahli Jawatankuasa (AJK) Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari kawasan Kampung Melayu di Spaoh digesa bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dalam norma baru.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Ketua Menteri yang juga ADUN Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberi bayangan terdapat kemungkinan PRN Ke-12 boleh diadakan di dalam masa terdekat.

“Pilihan raya negeri kali ini sudah pasti sangat berbeza dari segi gerak kerja dan strategi berbanding pilihanraya yang pernah dihadapi sebelum ini,” katanya.

Uggah berkata demikian semasa sesi perjumpaan bersama ahli empat ranting Parti PBB dari kawasan Kampung Melayu di Spaoh pada Selasa.

Empat ranting tersebut ialah Ranting Kampung Hilir Spaoh, Ranting Kampung Tengah Spaoh, Ranting Kampung Hulu Spaoh dan Ranting Kampung Lot Penggan Spaoh.

Menurut Uggah, perjumpaan itu merupakan platform untuk membincangkan perkembangan pelaksanaan projek-projek kerajaan dan melihat sekiranya ada isu berbangkit selain melihat bagaimana memperkasakan aktiviti ekonomi komuniti di kampung.

Pada sebelah petang, beliau berkesempatan menyerahkan cek sumbangan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) kepada Gereja St Christopher Debak dan St Mark Chapel Nanga Peka Spaoh.

Kedua-dua rumah ibadat itu masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM500,000.

Dalam majlis itu, Uggah turut menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dari Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat juga untuk St Mark Chapel Nanga Peka Spaoh berjumlah RM5,000.

Terdahulu, Uggah meninjau masalah perparitan di Kampung Melayu Spaoh dan pelaksanaan projek RTP Naiktaraf Prasarana Rumah Panjang di Bebuling Baroh, Spaoh dengan kos RM80,000. — DayakDaily