Uggah: Sarawak sasar sifar kematian akibat wabak rabies pada 2021

Uggah (duduk tiga dari kanan) hadir di Majlis Penyampaian Amanat Op Rabies 2020 di BCCK di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Dis 22: Sarawak menetapkan sasaran sifar kematian di kalangan manusia akibat wabak rabies pada tahun 2021.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata sasaran tersebut ditetapkan pada perbincangan semasa Bengkel ‘Plan of Action Op Rabies Sarawak 2020’ yang diadakan pada 21 dan 22 Disember di sini.


Selain itu, Sarawak turut menetapkan sasaran tiada kes positis rabies menjelang tahun 2025, kata Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Di dalam perbincangan kita pada dua hari ini, kita harus menentukan halatuju dan sasaran kita ialah sifar kematian di kalangan manusia akibat wabak rabies pada tahun 2021 dan tiada kes positif rabies pada 2025.

“Dengan sasaran itu, kita telah merencana program dan akan saya bawa ke kabinet untuk kelulusan kerana pada bulan Januari tahun hadapan fasa kedua op Rabies akan bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Amanat Op Rabies 2020 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.

Mengulas berhubung Op Rabies 2019 yang bermula pada bulan Mac di Lundu, Uggah berkata, sejak itu kes positif rabies di Kuching telah menunjukkan penurunan.

“Kita harap penurunan kes positif rabies ini adalah sebagai petanda kejayaan Operasi.

“Melalui operasi ini juga, tiada lagi kawasan baharu telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies dan yang terakhir diisytihar adalah pada bulan Julai 2019,” katanya.

Menurut Uggah lagi, sejak pengisytiharan wabak rabies sebagai Bencana Tahap 2 mengikut Arahan Majlis Keselamatan Negara(MKN) No.20, sebanyak 63 kawasan di Sarawak telah diisytiharkan kawasan wabak.

Daripada jumlah itu, katanya, tujuh kawasan adalah di Kuching, Sri Aman ada lima, Sibu (2), Miri (6), Sarikei (5), Kapit (1), Bintulu (4), Samarahan (4), Mukah (4), Betong (4) dan Serian (22).

Sejak dikesan pada tahun 2017, wabak rabies di Sarawak telah mengakibatkan 20 kematian dikalangan manusia.

Untuk Op Rabies 2020, Uggah menegaskan objektif adalah untuk memastikan 100 peratus anjing di kawasan operasi divaksinasi dan menyingkirkan anjing liar. — DayakDaily