Uggah: Pihak pembangkang ‘angkuh’, tidak memahami sektor pengurusan kewangan

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 13: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Kewangan II membidas kenyataan dari pihak pembangkang (Pakatan Harapan) yang menuduh Belanjawan Negeri 2020 tidak realistik.

ADUN Kota Sentosa, Pelawan dan Krian, kata Uggah, menuduh tiada peruntukan yang jelas dinyatakan di dalam belanjawan untuk melaksanakan inisiatif atau program strategik.


“Ini merupakan tuduhan yang tidak berasas selain mengambarkan sikap angkuh mereka yang tidak memahami sektor pengurusan kewangan dan bagaimana belanjawan negeri disediakan.

“Perbelanjaan program pembangunan 2020 berpandukan belanjawan negeri dan menerusi alternatif inisiatif kewangan dalam perlaksanaan pelbagai projek dan program,” ujar Uggah, ketika berucap pada sesi penggulungan Kementerian Kewangan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini,

Pada ucapan yang sama, beliau sekali lagi menegaskan kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang jika Petronas masih gagal untuk membayar cukai jualan produk-produk petroleum kepada Sarawak.

Uggah berkata hanya Petronas sahaja yang masih berdegil dan ingkar untuk membayar.

“Syarikat minyak dan gas lain yang beroperasi di Sarawak menghormati hak negeri dalam menguatkuasakan cukai jualan dan telah membuat bayaran cukai 5 peratus yang dikenakan kepada negeri,” katanya.

Terdahulu, Petronas telah diberi tempoh sehingga akhir Oktober lepas untuk membuat pembayaran cukai julan 5 peratus terbabit yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019. — DayakDaily