Uggah: Kilang berkepentingan ekonomi dibenarkan beroperasi di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya

Datuk Amar Douglas Uggah Embas (file pic)
Advertisement

KUCHING, March 25: Kilang-kilang berkepentingan ekonomi dibenarkan beroperasi di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di Kuching sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kebenaran diberi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dan bukan atas arahan kerajaan negeri.

“Kilang-kilang tertentu di Sama Jaya dibenarkan beroperasi sama seperti kilang-kilang dan ladang kelapa sawit.

Advertisement

“Tetapi MITI telah menetapkan syarat-syarat dan prosedur operasi standard yang mesti dipatuhi,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke sebuah kilang pemprosesan sawit di Bau hari ini.

Justeru, tambah Uggah, adalah tidak adil untuk menyalahkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana beberapa kilang di Sama Jaya dibenarkan beroperasi meskipun PKP dilaksanakan.

Katanya, ia adalah dasar negara kerana ada antara kilang ini sangat penting dari sudut ekonomi.

Uggah menjawab dakwaan sesetengah pihak yang mempersoalkan operasi beberapa kilang di zon tersebut walaupun PKP dikuatkuasakan. — DayakDaily

Advertisement