Uggah digesa tidak membuat tuduhan sewenang-wenangnya demi politik

Dr Xavier Jayakumar (photo sourced from https://www.facebook.com/drxavierjayakumar/)

KUCHING, Dec 11: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar hari ini mengingatkan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas agar beliau tidak membuat tuduhan yang melulu terhadapnya.

“Saya ingin merujuk kepada laporan portal The Malaysian Insight bertajuk “Xavier Jayakumar wanted to strip Sarawak’s autonomy, says DCM” bertarikh Disember 10, 2018, serta beberapa laporan berita yang disiarkan pada pagi ini.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa ia adalah merupakan satu tuduhan yang melulu yang dilakukan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas apabila beliau memaklum bahawa saya cuba mencadangkan agar Sarawak menyerahkan hak autonomi tanah di negeri itu,” kata Xavier dalam satu kenyataan akhbar hari ini.


Beliau menjelaskan bahawa secara umum sememangnya diketahui nbahawa terdapat tiga undang-undang tanah yang berbeza yang digunapakai bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Apa yang ingin saya cadangkan ialah agar ketiga-tiga undang-undang tersebut iaitu Kanun Tanah Negara, Ordinan Tanah Sabah dan Kanun Tanah Sarawak dikumpul dan disatukan sebagai satu dokumen untuk digunapakai sewaktu forum atau konvensyen di peringkat antarabangsa.

“Ini bagi membolehkan saya bagi pihak kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) untuk menyampaikan maklumat berkenaan negara kita dalam satu dokumen berbanding tiga yang mungkin mengelirukan pihak luar negara.

“Namun dukacita dimaklumkan bahawa cadangan saya tersebut telah disanggah dan disalahertikan,” jelas Xavier.

Beliau berkata tuduhan itu oleh Uggah juga tidak berasas memandangkan perkara tersebut dibincangkan secara bersama sewaktu Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri serta dihadiri oleh menteri-menteri besar serta ketua-ketua menteri dan juga wakil-wakil mereka pada Disember 3 lepas.

“Saya juga pernah memaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal sewaktu mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau pada bulan September berhubung cadangan untuk mengumpulkan ketiga-tiga undang-undang tersebut bagi dijilidkan sebagai satu dokumen untuk digunapakai sewaktu forum atau konvensyen di peringkat
antarabangsa.

“Saya tidak pernah mencadangkan pada bila-bila masa bahawa hak autonomi Sarawak mahupun Sabah harus disatukan dengan Semenanjung,” jelas beliau.

Xavier juga menegaskan bahawa persefahaman yang terbina antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia sejak 1963 akan sentiasa dihormati oleh semua pihak.

“Kerajaan persekutuan tetap komited di dalam membantu semua kerajaan negeri terutama sekali Sarawak terhadap pembangunan masing-masing. Oleh yang demikian, tuduhan berbaur politik yang dilakukan oleh beliau adalah tidak wajar dan harus ditarik balik,” tambah beliau. — DayakDaily