Oleh Chris Bishop
KUCHING, 13 Nov: Sekurang-kurangnya 30 peratus komponen kerja yang melibatkan projek mega harus diberikan kepada kontraktor bumiputera.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata polisi tersebut telah digunapakai kerajaan negeri untuk membolehkan golongan bumiputera mengambil bahagian dalam projek kerajaan.
“Projek mega ini adalah seperti projek jalan pesisir, projek jalan utama kedua dan sebahagian pakej utama program pembekalan grid air Sarawak,” katanya pada ucapan penggulungan Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Tambah Uggah yang juga Menteri Kewangan II, untuk projek yang berharga kurang dari RM100,000, peserta atau kontraktor dihadkan kepada kontraktor Bumiputera Kelas F.
Katanya, mereka hendaklah berdaftar dengan Unit Pendaftaran Kontraktor dan Juruperunding (UPKJ).
“Untuk projek yang berharga lebih RM100,000, sekurang-kurangnya 30 peratus peruntukkan pembangunan setiap tahun diberikan kepada kontraktor bumiputera yang berdaftar dengan UPKJ sahaja,” katanya.
Selain itu, beliau juga berkata untuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), peserta juga dihadkan kepada kontraktor bumiputera yang berdaftar dengan UPKJ.
“Tujuan program khas ini diperkenalkan adalah untuk memberi peluang kepada kontraktor tempatan untuk mengambil bahagian di dalam pembangunan di kawasan mereka,” ujar Uggah. — DayakDaily