This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 14 Jun: Kerajaan Malaysia sedang menunggu satu lagi keputusan penting di Mahkamah Rayuan Belanda berhubung permohonan pihak yang membuat tuntutan sebagai waris Sultan Sulu.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia adalah untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan Final Award di Belanda yang dijangka akan dikeluarkan pada 27 Jun 2023.
“Walaupun keputusan 6 Jun 2023 telah memihak kepada Malaysia, namun Kerajaan telah mendapat maklumat bahawa pihak yang membuat tuntutan akan meneruskan taktik mereka untuk menguatkuasakan Final Award tersebut di negara-negara lain.
“Ini merupakan suatu tindakan penyalahgunaan dan pelanggaran mekanisma mahupun proses Mahkamah dan timbang tara yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah Rayuan Perancis pada 6 Jun 2023 telah membuat keputusan untuk membatalkan Perintah Pelaksanaan bagi tuntutan 8 warga Filipina yang mendakwa kononnya sebagai waris Sultan Sulu.
Perintah ini dikeluarkan oleh Mahkamah Paris pada 29 Sept 2021 telah mengiktiraf Preliminary Award yang dikeluarkan oleh penimbangtara, Dr Stampa, pada 25 Mei 2020.
Tambah Anwar, ini merupakan satu lagi kejayaan penting dan signifikan, bagi Malaysia sekaligus membuktikan kesungguhan serta ketegasan Kerajaan Malaysia dalam mendepani isu ini,” kata Anwar.
Sejak 2019 Malaysia menghadapi tuntutan tersebut dan pihak yang membuat tuntutan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di empat buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.
Jelas Anwar, kesan daripada keputusan tersebut ialah pihak yang membuat tuntutan tidak boleh bergantung kepada Preliminary Award yang dikeluarkan oleh Dr Stampa di Madrid, Sepanyol yang menyatakan bahawa Dr Stampa mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan keputusan tersebut.
Katanya, keputusan 6 Jun 2023 tersebut adalah muktamad dan mengikat.
“Mahkamah Rayuan Paris juga telah memutuskan supaya pihak yang membuat tuntutan membayar kos prosiding sebanyak EUR100,000 kepada Kerajaan Malaysia,” ujarnya. — DayakDaily