Oleh Dean Adam
LUNDU, Okt 13: Enam penganggur dan seorang petani dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah serta memiliki senjata api menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Kpg Stungkor Baru di sini semalam.
Kesemua lelaki berusia antara 21 hingga 68 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak pada pukul 12.30 tengah hari.
Ketua JSJN Sarawak, Supt Sahar Abdul Latif berkata kejayaan operasi tersebut adalah hasil daripada maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan sebelum ini.
Jelas beliau, semasa serbuan itu, polis telah menahan lima lelaki yang berada di ruang tamu, manakala seorang lagi berada di dalam bilik tidur kerana disyaki terlibat dengan dalam penyalahgunaan dadah.
“Hasil pemeriksaan pasukan serbuan telah menjumpai satu beg sandang warna coklat tua di atas lantai yang dalamnya terdapat satu tiub straw warna hijau berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 0.11gram.
“Seterusnya pasukan serbuan membuat pemeriksaan di bilik tidur subjek keenam dan hasilnya telah menemui dua paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 10.60gram,” katanya di sini hari ini.
Sahar menambah, kesemua suspek itu kemudian ditahan di bawah Seksyen12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Manakala katanya, subjek yang keenam ditahan dibawah Seksyen 39A(1) ADB 1952.
“Kesemua suspek kemudian menjalani ujian saringan awal air kencing dan semua mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Mereka juga ditahan serta disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.
Dalam pada itu, Sahar memberitahu, suspek ketujuh pula diberkas kerana disyaki memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan dua senapang angin.
“Suspek tersebut ditahan mengikut Akta Senjata Api 1960,” ujarnya lagi. — DayakDaily