Tugu Peringatan Kampung Jangkar bakal diwarta sebagai warisan sejarah

Abdul Karim meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Kampung Jangkar.

Oleh Chris Bishop

LUNDU, 3 Mei: Tugu Peringatan Kampung Jangkar di Lundu bakal diwarta sebagai kawasan warisan sejarah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia adalah satu kawasan pertempuran diantara askar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan musuh komunis pada bulan Mac 1972.


“Tugu peringatan ini sangat signifikan sekali kerana di sini berlakunya satu sejarah sedih 51 tahun yang lalu dimana 15 anggota tentera kita telah terkorban dalam satu serang hendap yang berlaku pada 26 Mac 1972.

“Satu-satunya insiden yang melibatkan jumlah kematian yang agak besar yang melibatkan anggota tentera kita,” katanya pada sidang media di Majlis Perasmian Tugu Peringatan Kampung Jangkar hari ini.

Abdul Karim (duduk tengah) pada sidang media di Tugu Peringatan Kampung Jangkar.

Justeru, tambah Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, tugu tersebut seharusnya diwarta sebagai kawasan warisan sejarah.

Katanya, pihak Muzium Sarawak akan diberi tanggungjawab memastikan ia diwartakan seperti tugu-tugu peringatan yang lain.

“Itu adalah insiden yang perlu diketahui oleh rakyat Malaysia dan rakyat Sarawak terutama mereka yang lahir kemudian.

“Bagaimana peritnya kita hendak menjaga ketenteraman dan memastikan negara kita merdeka,” jelas Abdul Karim. — DayakDaily