Tuaian pertama tembikai wangi di Taman Pengeluaran Makanan Rampangi

Uggah (dua kiri) bersama Roland (kiri) dan Dr Rundi (empat kiri) melakukan tuaian pertama tembikai wangi.

KUCHING, 8 Oktober: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas bangga dengan pencapaian sistem fertigasi pada tanaman tembikai wangi di Taman Pengeluaran Makanan Rampangi di sini.

Hari ini, beliau mengadakan lawatan ke taman tersebut untuk menyaksikan tuaian pertama tembikai wangi.

“Tuaian pertama melibatkan pengeluaran 1,500 tembikai wangi atau sejumlah dua tan dari salah satu plot tanaman. Setelah beberapa percubaan, akhirnya kita berjaya menghasilkan tanaman yang baik,” katanya.

Tembikai wangi di Taman Pengeluaran Makanan Rampangi.

Uggah yang juga Menteri Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah menambah, pencapaian itu bertepatan dengan usaha ke arah pertanian pintar.

Katanya, inilah sistem yang digunapakai oleh Jabatan Pertanian Negeri pada masa ini.


“Sistem IoT (Internet of Things) juga telah memainkan peranan penting dalam kejayaan tanaman dan tuaian ini,” ujar Uggah.

Menurut pengendali tananam, Fabian Ng Eng Hieng dari Lotus Farm Agritech, mereka mengunakan lebah kelulut untuk membantu pendebungaan.

Uggah turut menyerahkan sijil “Malaysian Good Agricultural Practise” (My Gap) kepada Ng.

Turut serta pada lawatan itu ialah Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Tanah Adat Datuk Roland Sagah dan Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail. — DayakDaily