Trusan River Rafting Challenge Festival 2023 promosikan Long Tengoa

Awang Tengah hadir ke Trusan River Rafting Challenge Festival 2023.
Advertisement
KUCHING, 2 Dis: Penganjuran Trusan River Rafting Challenge Festival 2023 di Long Tengoa bantu promosi keindahan kawasan tersebut sekaligus menjadi lebih dikenali, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Tengah berharap program mendapat perhatian dan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
“Terima kasih banyak dan saya akan mempastikan festival ini akan dijadikan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalender Pelancongan Negeri Sarawak.
“Saya cukup berbangga kerana kita terus mempertahankan budaya dan adat resam kita. Kita mahu semua ini diwarisi kepada anak-anak muda,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Trusan River Rafting Challenge Festival 2023 di Kampung Long Tengoa, Trusan pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak turut berkata permintaan pembinaan rumah panjang dan perkhidmatan internet akan diteliti selepas ini.
Katanya, Long Tengoa sudah menerima banyak pembangunan seperti penyediaan jalan raya dan bekalan air. — DayakDaily
Advertisement