Tragedi perahu karam: Mangsa ketiga ditemui, Ops SAR tamat

Pasukan SAR mengangkat mayat mangsa ketiga yang ditemui mati lemas.
Advertisement

JULAU, Mei 27: Seorang wanita yang juga mangsa ketiga tragedi perahu karam di Nanga Ensiring Entabai ditemui mati lemas, hari ini.

Mayat mangsa, Ebiline Linty Kaya, 23, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan Lubuk Tabau di sini pada pukul 7.15 pagi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa naik ke darat untuk proses pengecaman oleh ahli keluarganya.

Advertisement

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi SAR yang memasuki hari kelima dihentikan serta-merta selepas mayat mangsa dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan perjalanan pulang dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki ke rumah panjang dengan menaiki sebuah perahu berakhir dengan tragedi apabila mereka dilaporkan hilang selepas perahu dinaiki mereka karam di Nanga Ensiring di sini.

Sejurus menerima laporan itu, sepasukan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa. ā€” DayakDaily

Advertisement