LIMBANG, Sept 27: Insiden perlanggaran membabitkan sebuah bot penambang dan bot laju di Sungai Simpang Tiga, dekat Kampung Limpa Ku Pinang di sini hari ini telah meragut tiga nyawa penumpang bot berkenaan.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu telah mengakibatkan dua rakyat tempatan dan seorang warga Brunei Darussalam disahkan meninggal dunia.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, dua lelaki tempatan yang maut dikenal pasti sebagai Awang Syukri Awangku Rizan, 7, dan Mohd Nazmi Marali, 21.
Manakala katanya, wanita warga Brunei yang terkorban dikenali sebagai Sanah Lisa.
“Tragedi sama juga menyebabkan dua lagi warga Brunei cedera parah iaitu Adri Arshad dan Rosmawati Manaf.
“Semasa kejadian, bot penambang itu dikatakan membawa enam penumpang, manakala bot laju dari Brunei membawa 20 penumpang,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, kesemua mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, buat masa ini punca kejadian masih lagi dalam proses siasatan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan pada pukul 2.19 petang tamat sepenuhnya pada pukul 6.01 petang,” katanya. — DayakDaily