SIBU, Ogos 23: Malang menimpa seorang remaja lelaki apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh oleh kenderaan Toyota Hilux di Jalan Wong King Huo di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, mangsa, Albert Ngu Bing Hoe, 19, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, SUPT Alexson Naga Chabu berkata, siasatan mendapati sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke arah Jalan Salim dari di Jalan Wong King Huo di sini.
Bagaimanapun katanya, malang menimpa mangsa apabila motosikal yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba dirempuh oleh Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun.
“Kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux bergerak dari arah yang sama telah melanggar bahagian belakang motosikal yang bergerak di lorong kanan.
“Kesan kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari atas motosikalnya dan mengalami kecederaan parah,” katanya di sini hari ini.
Alexson menambah, pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu Toyota Hilux untuk membantu siasatan.
Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily