Tongkang bawa muatan batu karam, dua hilang manakala lima selamat

Anggota bomba melakukan operasi pencarian untuk dua mangsa yang hilang.
Advertisement

KAPIT, Jan 29: Dua pekerja sebuah tongkang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas, manakala lima lagi selamat apabila tongkang yang dinaiki mereka karam berhampiran Nanga Ebau, Sungai Rajang di sini hari ini.

Tongkang yang membawa muatan batu tersebut dilaporkan karam kira-kira pukul 10 pagi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 10.33 pagi.

Advertisement

Jelas beliau, berdasarkan maklumat yang diterima, lima pekerja tongkang itu berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.

Kelihatan tongkang yang karam.

“Namun, dua lagi mangsa dikatakan terperangkap di dalam tongkang berkenaan.

“Setakat pukul 6 petang ini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui. Identiti mereka juga belum dikenalpasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Tiong, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit sudah berada di lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja menyelamat.

Katanya, buat masa ini, kaedah pencarian di permukaan sungai digunakan memandangkan arus sungai yang deras.

“Pada masa sama, kita juga telah menghantar pasukan penyelam penyelamat di dalam air (PPDA) untuk membantu operasi pencarian mangsa,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement