Tolak parti bukan tempatan – Dr Abdul Rahman

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 23: Rakyat di negeri ini perlu berfikir panjang sebelum menyokong parti politik bukan tempatan, kata naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau berpendirian rakyat Sarawak sepatutnya memberi kepercayaan kepada parti-parti tempatan yang bernaung di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).


“Masyarakat akar umbi perlu memberi sokongan padu kepada kepimpinan parti yang diterajui anak watan Sarawak sendiri.

“Mereka tidak perlu mengagung-agungkan parti dari luar Sarawak yang hanya mahu kuasa politik, namun tiada keikhlasan untuk menjaga rakyat Sarawak dan membangunkan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) itu menambah, keamanan, keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi selama ini adalah kerana rakyat pelbagai kaum telah bersatu padu.

Jelasnya, perpecahan dan perbalahan dalam masyarakat hanya akan memecahkan perpaduan dan keharmonian di negeri ini.

“Sehubungan itu, kita harus mengelak daripada berbalah semasa sendiri hingga mengakibatkan perpecahan dalam parti.

“Pada masa sama, rakyat perlu bijak berfikir dengan menolak kehadiran parti bukan tempatan,” katanya. — DayakDaily