Titian kayu di 15 kampung di Tanjung Datu dinaiktaraf

Abang Johari (lima dari kanan) merasmikan Pontoon Sematan.

Dikarang Christopher Bishop

SEMATAN, 11 Jun: Titian kayu di 15 kampung di kawasan Dun Tanjung Datu akan dinaik taraf kepada titian konkrit.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kini ada lebihan pendapatan dan seharusnya digunakan untuk memberi keselesaan kepada rakyat.


“Kita ganti semua titian kayu ini untuk rakyat, saya berani cakap sebab kita ada lebihan pendapatan.

“Ini berikutan kenaikan harga minyak dunia USD122 setong. Dahulu, perkiraan saya ialah USD70 setong.

“Maka ada lebihan dan biarlah kita kongsi dengan rakyat, tukar titian kayu,” katanya di Majlis Perasmian Pontoon Dan Landskap di Tebingan Sungai Sematan hari ini.

Terdahulu, Adun Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan dalam ucapan aluan memaklumkan bahawa di kawasannya hanya 15 kampung tersebut masih menggunakan titian kayu.

Justeru, beliau mahukan ia dinaiktaraf bagi menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik kepada penduduk.

“Saya cuba mohon, tetapi bukan saya untung, yang untung adalah rakyat. Saya mahu tingkatan taraf hidup ekonomi, pendapatan isi rumah di kawasan ini,” katanya.

Azizul juga memohon agar Stadium Mini Lundu dan fasilitinya dinaik taraf bagi kegunaan para belia.

Menurut beliau, stadium tersebut merupakan tempat berkumpul bagi para belia dari Lundu dan Sematan menerusi pelbagai aktiviti sukan.— DayakDaily