Tiong seru TM tangani isu internet kurang memuaskan di pedalaman Sarawak

Dato Seri Tiong King Sing

KUCHING, 22 Jan: Telekom Malaysia (TM) harus tangani isu rangkaian internet yang kurang memuaskan di kawasan pedalaman Sarawak terutamanya di kawasan yang sudah mempunyai menara telekomunikasi.

Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing berkata jabatan berkenaan dapat menjalinkan hubungan yang baik sesama pemimpin tempatan bagi membolehkan rakyat memahami cara menyediakan rangkaian telekomunikasi yang lancar kepada penduduk pedalaman secara teknikal dan berkesan.

“Sebagai contoh, rakyat perlu tahu dengan pihak atau unit mana yang boleh mereka rujuk jika menghadapi masalah dan untuk mendapatkan maklum balas dalam tempoh yang singkat.


“Pada masa yang sama, perlu wujudnya platform komunikasi dengan orang ramai supaya dapat memberi pendedahan kepada mereka berhubung perkhidmatan yang ditawarkan seperti perbezaan di antara rangkaian gentian optik (Unifi) dan perkhidmatan jalur lebar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong turut memberitahu ramai penduduk rumah panjang di Dudong meluahkan rasa kecewa apabila tidak dapat menikmati perkhidmatan internet walaupun menara telekomunikasi berada berhampiran dengan mereka.

“Jika mereka betul-betul nak mewujudkan rangkaian internet di sesebuah kawasan perumahan tidak kira sama ada di tengah atau pinggir bandar, biarlah perkhidmatan telekomunikasi dan kelajuan rangkaian itu mampu menampung penggunaan penduduk.

“Mungkin TM boleh mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk dan mengesyorkan kepada mereka pakej rangkaian internet yang sesuai di kawasan tersebut,” katanya lagi.

TM telah menawarkan perkhidmatan Unifi di Sarawak sejak 2015. Sehingga kini, lebih 14,500 unit Unifi telah dipasang di kawasan Dudong yang memanfaatkan kira-kira 7,250 pengguna termasuk di kawasan Lanang, Upper Lanang dan Salim, serta telah diperluaskan ke Sibujaya dan Durin pada 2021.

Pada tahun 2022, TM merancang untuk menambah perkhidmatan Unifi di Dudong iaitu HDC Garden Sibu Jaya, Persiaran Sibu Jaya, Jalan Sibu Jaya Selatan, Jalan Alan, Jalan Aman, SJK Hing Ung Julau, Rumah Anggup dan TR Maxwell.

Selain itu, TM juga akan menawarkan perkhidmatan Unifi di kawasan Jepak iaitu Kg Jelutong, Kg Jepak, Kg Jepak Permai, Flat Kastam Jepak, Kg Kemunting, Kediaman Tiara Seni, Taman Putra Fasa 2 dan Flat Kakitangan SMK Kemena.

Dalam kawasan Sebauh, perkhidmatan Unifi akan ditambah di Kampung Hilir Sebauh, DD Palm Oil Sebauh, Jalan Pandan Sebauh, Rh.PJG Sumpit, Rh Tanggal Ak Mandar, Rh Ulat Ak Danbi dan Sekolah Kebangsaan Sebauh.

Untuk kawasan Samalaju pula termasuk Intergrated Energy Hub, Kuarters SK Tanjung Batu, Batu 7 SK Tisang, Kg Penan Muslim, Penjara Bintulu (Blok Raflesia/Bunga Raya), Makpo Bricks & Jin San Transport, Kemena Industrial Estate dan Sekolah Kebangsaan Kem Batu 18. — DayakDaily